Saturday 20 September 2014

Disiplinkah Kita ???

Assalamualaikum 
bakal penghuni syurga ,



Gambar hiasan semata-mata tetapi amat berkait dengan disiplin

Kali ini ana ingin membicarakan topik "Disiplin". Yeaa, ana tahu ramai yang mengeluh jika dengar tentang disiplin. Ada yang kata syadid la, ketat la, over la, menyusahkan la dan banyak lagi. Banyak juga persoalan yang timbul dalam kalangan manusia tentang disiplin. Seperti, "apakah kepentingannya kepada pembentukan diri pelajar ?" dan "apakah kesannya kepada negara?"


Tapi hakikatnya mereka tidak pernah tahu atau berpura-pura tidak tahu bahawa dalam sesebuah institusi persekolahan, aspek disiplin merupakan perkara yang amat penting jika ingin cemerlang dalam pencapaian akademik dan kegiatan ko-kurikulum. Pelajar yang tidak terurus dengan baik adalah cerminan tahap disiplin sekolahnya. Seperti yang kita tahu, pelajar hari ini adalah pemimpi hari esok, jadi bagaimana sesebuah negara itu akan membangun jika harapan-harapan mereka tidak bersikap untuk bangkit.



Tetapi jika kita lihat pada hari ini, ramai manusia yang mengamalkan disiplin ini adalah untuk mencapai duniawi sahaja. Mereka langsung tidak berdisiplin terhadap Pencipta mereka.

Sebagai contoh, seseorang itu tidur awal di waktu malam. Dia berpendapat dengan tidur awal dapatlah dia datang awal ke tempat kerjanya. Jadi dapatlah kita simpulkan bahawa dia bangun awal adalah kerana untuk datang awal ke tempat kerjanya tetapi tidak pula bangun awal untuk solat Subuh awal. Nyatalah di situ bahawa dia lebih takut kepada majikannya daripada tuhannya sendiri. Adakah ini yang dimaksudkan dengan disiplin? Adakah disiplin itu hanyalah patuh kepada majikan sahaja? Oleh itu, marilah kita baca apa itu disiplin.


Definisi Disiplin


Disiplin mempunyai pelbagai tafsiran. Antaranya tafsirannya ialah disiplin ini merujuk kepada kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada kuasa, keadaan tempat bekerja yang teratur, urusan yang sistematik, cara yang menetapkan peraturan atau hukuman dengan berkesan. Selain itu disiplin juga ditakrifkan sebagai perihal ketenteraman dan peraturan di dalam sesuatu kumpulan, termasuk cara-cara mendapatkan ketenteraman dan peraturan itu, serta hukuman.


Disiplin juga merupakan satu bentuk kawalan sosial untuk mewujudkan suasana yang tenteram dan teratur samada dalam masyarakat ataupun sekolah. Dengan adanya disiplin, masyarakat dapat hidup dalam dengan aman,tenteram,harmoni dan melancarkan segala aktiviti harian.  




Cara Untuk Berdisiplin

Arahan Diri - Disiplin arahan diri berlaku apabila pelajar dapat mematuhi peraturan sekolah secara sukarela. Disiplin ini diwujudkan atas kesedaran bahawa mematuhi peratuan-peraturan sekolah adalah untuk kebaikan pelajar sendiri. Ia wujud secara tidak sedar apabila pelajar telah mencapai tahap kematangan iaitu boleh berfikir secara rasional. Selain itu, nilai disiplin jenis ini juga dapat dibentuk oleh guru melalui latihan dan bimbingan seperti menerangkan kebaikan mematuhi peraturan yang ditetapkan, menerapkan nilai-nilai murni seperti adil,saling hormat-menghormati, bertimbang rasa, toleransi dalam sebarang aktiviti samada aktiviti pengajaran dan pembelajaran atau aktiviti kokurikulum.

Pengaruh Rakan - Selain dari arahan diri, pengaruh kawan juga adalah antara salah satu cara yang pentng untuk berdisiplin. Hal ini mungkin juga berlaku kepada kebanyakan pelajar. Sebagai contoh, seorang rakan kita itu aktif dalam kawad kaki, sudah tentu dia sentiasa tepati masa, dengar arahan ketua dan sebagainya. Jadi kita sebagai kawan, paling kurang pun kita dapat ikuti sedikit sebanyak cara hidup dia. Oleh itu, kita haruslah bijak dalam memilih rakan kerana rakan yang baik akan selalu memperbetulkan kesilapan kita sebaliknya rakan yang kurang baik akan selalu mentertawakan kesilapan kita.

Didikan Guru - Persoalan disiplin bukan sahaja merujuk kepada tingkah laku pelajar, sebaliknya di kalangan guru juga harus melihat disiplin itu sebagai sesuatu yang secara langsungnya wujud dalam peribadi masing-masing. Guru adalah role model kepada setiap pelajar, jika seseorang guru itu tidak mencerminkan disiplin yang baik bagaimana pula pelajar hendak mengaplikasikan kelakuan yang baik? Setiap gerak-geri guru akan diperhatikan bukan hanya dari pelajar bahkan juga dari ibu bapa pelajar tersebut. Jadi amat wajarlah bagi guru-guru untuk bersikap baik kerana ia akan ditiru oleh pelajar-pelajar.


Kesan Disiplin 


Kepada Pelajar - Natijahnya, jika seseorang pelajar itu berdisiplin maka dia akan mendapat kebaikan dan faedah untuknya sendiri. Pertamanya ialah seseorang itu akan dapat menguruskan masa dengan betul. Hai ini akan menyebabkan kehidupan seseorang itu akan lebih terurus dan teratur. Selain itu, pelajar itu mungkin juga akan mendapat pujian dan hormat dari orang-orang yang berada disekelilingnya. Oleh itu sudah tentu dia tidak akan mengalami kesukaran untuk bergaul dengan teman-teman disekelilingnya kerana dia adalah seorang insan yang boleh dipercayai.


Kepada Negara - Banyak pertanyaan yang timbul apakah kesan kepada negara jika rakyatnya berdisiplin? Ingin ana tekankan di sini bahawa untuk melihat sesebuah negara itu bertamadun ataupun tidak, kita mesti melihat pada akhlak dan kelakuan rakyatnya. Jadi, sudah terang lagi bersuluh yang rakyat berdisiplin memberi kesan kepada sesebuah negara. Sebagai contoh, jika kita lihat negara Matahari Terbit atau Jepun yang mempunyai kemajuan jauh melangkaui kemajuan negara kita dari semua aspek kecuali dalam beragama, Mesti timbul di benak fikiran anda semua mengapakah dan bagaimana mereka boleh maju? Jawapannya mudah sahaja, kerana rakyatnya berdisiplin. Seperti yang kita tahu, Jepun adalah negara yang terbaik untuk diikuti dari segi disiplin rakyatnya yang sangat mementingkan masa, kebersihan, rasa hormat dan sebagainya. Jad, oleh sebab itulah negara Jepun mencapai kemajuan melangkaui negara-negara lain. 


Kepada Agama - Tidak lupa juga, disiplin dapat membangunkan agama melalui ketaatan penganutnya terhadap tuhan. Patuh kepada pencipta adalah amat dituntut dalam agama. Hal ini kerana dengan agamalah seseorang dapat meneruskan hidupnya sehingga ke hari ini. Tanpa adanya agama maka hilanglah panduan untuk seseorang itu meneruskan hidupnya. Sebagai contoh dalam Islam, kita banyak diajarkan supaya bersifat sabar untuk memperoleh sesuatu yang diinginkan. Oleh itu, jika semua penganut agama berdisiplin dengan agamanya maka tidak hairanlah jika agamanya dapat menarik lebih ramai lagi manusia untuk menganutinya. Jadi, jika seseorang itu berdisiplin kepada agamanya, sudah tentu agama tersebut berjaya mendidik penganutnya.



Natijahnya, ana harap dapat sampailah kepada anda semua apa yang cuba ana sampaikan ini. Memanglah kadang kala disiplin ni syadid, tetapi percayalah jika anda mengamalkannya anda akan merasai sendiri nikmatnya hidup berdisiplin. Jadi setakat ini sahajalah entri ana kali ini. Maaflah di atas segala kekurangan dan kelemahan ana kali ini.Assalamualaikum

0 comments: