Friday 14 November 2014

Kisah Si Pemecah Batu


Gambar Hiasan

  Pemecah batu menghabiskan sepanjang siang di sebuah bukit, bermandi keringat mengerah seluruh kudrat memecahkan batu-batu pejal. Dia sering mendengus dan mengkritik tentang kenaifan diri sendiri. 

      Di bawah limpahan terik sinar matahari yang membakar, sambil memegang penukul besinya dia melihat kepada matahari dan berkata pada dirinya sendiri, "Malangnya diri ini... Alangkah baiknya kalau aku dicipta sebagai matahari yang besar, hebat dan tinggi penuh megah. Boleh melimpahkan cahaya dan membakar sesiapa yang aku suka.

      Hatinya terus berbisik sambil melihat kepada matahari dengan penuh kagum. Sedang dia asyik berfikir, tiba-tiba dia merasa keadaan menjadi redup dan dingin. Apabila dia mendongakkan kepalanya, dia melihat ada gumpalan awan besar berwarna gelap sedang menutupi matahari.

     "Wah, awan lebih hebat rupanya ! Ia boleh memadam kekuatan cahaya matahari. "

Dia mula berfikir tentang dirinya yang malang dan betapa bertuahnya menjadi awan. "Alangkah hebatnya awan dengan ukurannya seperti raksasa, boleh bergerak ke mana-mana dan mengalahkan sang mentari," tingkahnya dalam diri.

        Matanya leka mengekori awan yang berarak megak dengan tubuhnya yang besar melitupi segalanya. Tiba-tiba awan tersebut terserak dan berpecah bila membelah bukit tinggi.

        "Wah, bukit rupanya lebih hebat lagi ! Ia berjaya memecahkan gumpalan awan." Dia mula berfikir untuk menjadi bukit yang gagah tersegam. "Malangnya diriku ini dan alangkah baik sekiranya aku menjadi bukit yang berjaya mengalahkan awan dan menumpaskan matahari," gerutu hatinya sambil melihat kepada dirinya.

        Tiba-tiba dia tersedar sesuatu yang dia tidak perasan selama ini, mukanya bercahaya, matanya berkaca-kaca: Rupa-rupanya bukit yang tersegam gagah ini, sebenarnya tewas kepada seorang pemecah batu !

        "Dan pemecah batu itu ialah AKU !"

        Dengan penuh bertenaga ia melaungkan, "Aku sebenarnya lebih hebat daripada bukit, lebih gagah daripada awan, lebih kuat daripada matahari, Aku hanya perlu bersyukur atas apa yang telah diciptakan Tuhan untukku."

        Kemudian dia terus menghentak batu dengan penuh bangga dan meneruskan kerjanya dengan penuh rasa syukur. Dia tidak lagi mempedulikan terik matahari dan bebalnya kekerasan batu bukit tersebut.

0 comments: